Badan Penat Otak Beku

on Friday, May 11, 2012

Alhamdulillah aku sekeluarga selamat sampai dari Kota Kinabalu setelah seminggu bercuti di sana. Insha Allah aku akan ceritakan dalam post travelog terbaru akan datang. Sementara menunggu gambar-gambar untuk dikumpulkan, post mengenai Bukit Tinggi akan menyusul terlebih dahulu. Tapi apa-apa pun jom tidur dahulu. Badan penat, otak beku.
Tag : ,

Travelog 2: Ekspres Senandung Langkawi

on Thursday, April 19, 2012

Masa pulang ke kampung pada Jumaat lepas, aku sekeluarga pilih untuk naik bas. Ini semua gara-gara anak sulung aku, Muhammad 'Aqil yang beria-ria nak naik bas bila kami hantar mak dan ayah aku pulang ke Kedah bulan lepas. Pantang nampak bas mesti dia akan cakap, "Abi nak bas". Nak tak nak kenalah penuhi hajat dia. Kalau tak, mahunya sampai tahun depan dia akan cakap benda yang sama. Mak aku cadangkan supaya ambil bas Pancaran Matahari sebab ruang antara tempat duduk luas berbanding Sani Ekspres. Bolehlah nak lunjurkan kaki bila nak tidur atau kebas kaki nanti. 



Tag : , ,

Rabu Yang Terkelu: Mind Our English

on Wednesday, April 18, 2012

Ini notis di papan notis universiti :)

Tag :

Travelog 1: Lata Mengkuang, Sik, Kedah

on Monday, April 16, 2012

Hari Sabtu lepas aku sekeluarga bersama dengan keluarga mak ndak dan mak teh (gelaran untuk mak-mak saudara) pergi berkelah di Lata Mengkuang yang terletak di daerah Sik, Kedah. Seingat aku, ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke kawasan perkelahan ini walaupun nombor di tengah kad pengenalan aku berangka 02. Bila melalui pekan Sik, aku teringat yang aku pernah datang ke sini semasa aku darjah 6 apabila aku terpilih mewakili daerah Kubang Pasu dalam pertandingan bola sepak bawah 12 tahun.


Masa itu aku diletakkan sebagai penjaga gol simpanan pasukan Kubang Pasu B. Posisi yang aku rasakan sudah cukup glamour bagi budak berumur 12 tahun pada masa itu walaupun hanya sekadar simpanan. Aku hanya bermain separuh masa dan hanya untuk satu perlawanan. Aku rasa ini disebabkan aku dengan jayanya telah melepaskan sebiji gol kepada pihak lawan. Ini semua gara-gara aku terleka dan telah naik ke bahagian atas. Pihak lawan berjaya mengesan kelekaan aku lalu lantas bola dihantar tinggi melepasi aku tanpa sempat aku berpatah balik ke tiang gol. Jurulatih aku juga dengan lantasnya menukarkan aku dengan penjaga gol lain. Malu juga bila difikir-fikirkan balik. Tapi apakan daya, nasi sudah jadi bubur. Selepas habis perlawanan tersebut, kami dibawa pergi Rimba Taqwa yang juga terletak di dalam daerah Sik untuk bermandi manda. Kalah pun dapat pergi bermandi manda. Rasanya kalau kami menang pada perlawanan itu mungkin dah dapat pergi bercuti satu Malaysia.



Berbalik kepada Lata Mengkuang, ia terletak 11 km dari pekan Sik dan 95 km dari Bandaraya Alor Star.  Dari Lebuhraya PLUS pengunjung perlu keluar di exit Gurun dan ikut papan tanda arah menuju ke Sik. Setibanya di pekan Sik akan ada papan tanda arah selanjutnya yang menghala ke Hutan Lipur Lata Mengkuang. Sepanjang perjalanan ini anda akan ditemani oleh suasana kampung dan hutan hijau. Sungai Chepir menjadi nadi utama kawasan perkelahan Lata Mengkuang ini. Aliran air sungai yang melalui batu batan menarik perhatian pengunjung untuk bermandi manda serta berkelah. 


Deruan air yang menyamankan suasana.

Kami tiba pada pukul 12.30 tengah hari dan syukur cuaca cerah elok. Risau juga memandangkan cuaca sekarang agak tak menentu. Aktiviti pertama yang dilakukan ialah menyediakan bara api untuk membakar ikan keli. Aktiviti ini pak-pak saudara yang siapkan. Mak-mak saudara pula bahagian menghidangkan makanan. Budak-budak awal-awal lagi dah terjun ke sungai. Anak sulong aku, Muhammad 'Aqil memang terujalah kalau bab mandi-mandi ini. Pantang nampak sungai, tasik atau laut mesti dia akan kata, "Abi, nak miming," atau bahasa bakunya, "Ayah, boleh tak Muhammad 'Aqil nak pergi berenang?". Seronok pergi berkelah ramai-ramai ini ialah ada ramai orang yang boleh tolong tengokkan anak-anak aku. Bolehlah ibu dan abinya buat kerja lain. 


Muhammad 'Aqil dan Nuha Farhana sempat ber'posing' atas batu


Menu makan tengah hari kami pada hari itu ialah ikan keli bakar berempah, gulai daging dengan rebung, udang goreng kunyit, ulam-ulaman dan sambal belacan. Menu yang memang terbaik. 


Ikan keli bakar. Terbaik.


Kawasan yang kami berkelah terletak di bahagian bawah. Kawasan tersebut agak landai dan sesuai untuk aktiviti keluarga seperti perkhemahan, berkelah, barbecue, sukaneka dan sebagainya. Ada wakaf untuk berehat dan surau terbuka untuk bersembahyang. Kawasan air terjun pula terletak di sebelah atas. Insha Allah kalau  ada masa nanti aku akan datang lagi dan membuat ulasan untuk kawasan air terjun pula. Secara umumnya kawasan ini masih lagi terjaga dan sesuai untuk aktiviti berkeluarga. Tak seperti Hutan Lipur Puncak Janing yang terletak di Kuala Nerang yang aku pernah pergi dahulu. Kotor dengan sampah sarap dan tandas yang tidak terjaga. Patutlah kawasan tersebut pernah ada kes kencing tikus. Aku harap kawasan-kawasan perkelahan sebegini diurus dengan baik bukan sahaja untuk menarik pelancong asing, tapi juga untuk pelancong tempatan.


Kami bertolak balik ke Jitra pada jam 3.15 petang dengan masing-masing tidur dalam kereta kerana keletihan kecuali ayah aku yang terpaksa menahan mengantuk untuk membawa kereta. Kesian dia.





Tag :

Balik Kampung

on Saturday, April 14, 2012

Hari ini sehinggalah hari Isnin aku berada di kampung. Bila bercakap pasal kampung, antara perkara yang terlintas dalam otak masa aku kecil-kecil dulu ialah suasana sawah padi, pokok kelapa melambai-lambai, burung berkicauan dan udara yang nyaman. Kemudian terbayang muka tok dan arwah tokwan aku (gelaran untuk atuk perempuan dan atuk lelaki bagi orang Kedah). Best betul. 

Tapi bila dah menginjak umur ke suku abad ini, perkara yang sama juga terlintas di benak fikiran cuma suasana dia dah jadi lain sedikit. Sekarang suasana kampung bagi aku ialah rumah mak ayah aku di Taman Damai Jaya, Jitra, Kedah. Suasana sawah padi dan pokok kelapa masih ada di rumah tok aku yang terletak di Kampung Tempayan Pechah, Ayer Hitam. Setiap kali balik ke Kedah, Insha Allah aku dan keluarga akan singgah melawat tok untuk rasa suasana tersebut. Seronok bila berkumpul adik beradik, sepupu sepapat, mak-mak saudara dan pak-pak saudara ini. Awal pagi selalunya adalah suara mak-mak saudara aku bising suruh bangun dan kemas tempat tidur. Dulu masa kecil-kecil, tidur semua hampar tilam depan ruang tamu  rumah sahaja. Tidur ramai-ramai. Bilik tidur pula selalunya untuk orang yang baru kahwin. 

Sarapan pagi yang terbaik pada aku ialah pulut ikan masin dengan isi kelapa. Boleh meleleh air liur. Kena pula dengan air kopi kaw. Nikmat betul. Sampai sekarang kalau balik ke rumah tok, aku akan minta tolong tok buatkan. Cucu kesayangan katakan. Hehehehe. Masuk pukul 11 pagi mak-mak saudara ini selalunya dah berkampung dekat dapur untuk masak tengah hari. Pak-pak saudara selalunya masih lagi tidur atau duduk baca surat khabar. Dah kata penat pergi beli sayur ikan bagai untuk mak-mak saudara ini masak. Jadi berehatlah sekejap. Tapi ada jugalah yang tolong bakarkan ikan. Ikan keli bakar memang kegemaran aku dengan isteri. Cicah pula dengan air asam dan ada ulam-ulaman. Aduh. 

Budak-budak selalunya akan bermain dekat laman luar. Masa zaman aku dulu selalunya kami main aci sembunyi, teng-teng, tuju (baling) kasut, polis sentri, pondok-pondok dan macam-macam lagi. Ada sahaja aktiviti untuk mengisi masa lapang. Tapi budak-budak zaman sekarang dah lain, tak macam dulu. Sekarang masing-masing ada telefon bimbit. Mengadaplah telefon bimbit itu 24 jam, melayan SMS tanpa jemu. Dunia dah berubah. 

Bila petang sahaja, selalunya ada minum petang dengan kuih muih. Kalau tak pun, kami pergi kait buah mempelam (mangga) dan cicah dengan gula kicap. Nak pedas, letak dengan cili padi. Memang terbaik. Sambil-sambil itu degarlah gosip dari mak-mak saudara ini. Sekali sekala pak-pak saudara menyampuk. Aku pula memang suka bangkitkan isu politik. Memandangkan mak-mak saudara aku ini semua kebanyakkan pro kerajaan, memang kenalah. Berdebat bagai nak rak, kalah parlimen. Memang meriah.

Itu belum kira suasana bila ada kenduri kendara, sambut puasa dan persiapan raya. Semua itu sebahagian memori aku bila berada di kampung. Cuma aku terfikir macam manalah agaknya suasana bila aku dan isteri berada di 'kampung' nanti menunggu anak-anak dan cucu-cucu pulang. 'Kampung' yang betul-betul kampung atau kampung macam Kg Baru? 




Tag :

Perancangan Allah Lagi Maha Hebat

on Friday, April 13, 2012

 'If you fail to plan, you plan to fail'

Pepatah Enggeris di atas rasanya dah banyak kali kita semua baca atau dengar termasuk diri aku sendiri. Selalunya pepatah begini banyak ditampal di dinding-dinding sekolah samada di sekolah rendah atau sekolah menengah. Tapi kebiasaannya kebanyakkan orang termasuk diri aku sendiri, macam ambil endah tak endah bila baca pepatah ini. 

Bila dah meningkat usia pra matang ini, baru terasa yang pepatah tersebut betul. Aku rasa aku dah membazir banyak masa terhadap benda-benda yang tak memberi faedah dan tak menjurus ke arah yang aku kehendaki. Selama ini aku hanya setkan dalam kepala apa yang aku nak dan seterusnya follow the flow. Kalau jadi, jadilah. Kalau tak jadi, set lain. Tapi sebenarnya cara begini membuatkan diri aku jadi tak tentu arah. Semua benda nak buat dalam satu masa. Fokus tak ada. Nasib baik aku ada isteri yang banyak menegur bila aku 'hilang arah'. Bebelan dia yang banyak membuatkan aku fikir dua tiga kali bila nak membuat sesuatu perkara yang melibatkan komitmen tenaga dan juga kewangan yang tinggi. 

Ya, aku seorang opportunist. Pantang lihat benda yang 'aku rasa' memberi keuntungan, mesti aku nak terkam tanpa berfikir panjang. Alhamdulilah bila dah berumah tangga dan mempunyai penasihat peribadi ini, perkara-perkara sebegitu dah berkurangan. Aku dah banyak melibatkan isteri aku dalam setiap perkara yang aku lakukan. Aku terangkan apa yang aku nak lakukan. Cerita kebaikkan, keburukan dan risiko perkara tersebut. Syukur dia memahami dan menyokong aku sepenuhnya. 

Insha Allah, dengan izin-Nya aku harap segala apa yang aku rancang bersama dengan isteri aku akan tercapai. Tapi sebaik mana pun perancangan kita, perancangan Allah lagi Maha Hebat. Mungkin ada perkara yang kita rasa baik untuk kita tapi pada pandangan Allah perkara tersebut tidak baik. Begitu juga dengan sebaliknya. Jadi apa yang kita perlu lakukan hanyalah berusaha ke arah perancangan kita dengan sebaik mungkin dan seterusnya berserah kepada Allah SWT. 


Tag :
 
© Antara Keyboard Dan Tetikus | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO