Balik Kampung

on Saturday, April 14, 2012

Hari ini sehinggalah hari Isnin aku berada di kampung. Bila bercakap pasal kampung, antara perkara yang terlintas dalam otak masa aku kecil-kecil dulu ialah suasana sawah padi, pokok kelapa melambai-lambai, burung berkicauan dan udara yang nyaman. Kemudian terbayang muka tok dan arwah tokwan aku (gelaran untuk atuk perempuan dan atuk lelaki bagi orang Kedah). Best betul. 

Tapi bila dah menginjak umur ke suku abad ini, perkara yang sama juga terlintas di benak fikiran cuma suasana dia dah jadi lain sedikit. Sekarang suasana kampung bagi aku ialah rumah mak ayah aku di Taman Damai Jaya, Jitra, Kedah. Suasana sawah padi dan pokok kelapa masih ada di rumah tok aku yang terletak di Kampung Tempayan Pechah, Ayer Hitam. Setiap kali balik ke Kedah, Insha Allah aku dan keluarga akan singgah melawat tok untuk rasa suasana tersebut. Seronok bila berkumpul adik beradik, sepupu sepapat, mak-mak saudara dan pak-pak saudara ini. Awal pagi selalunya adalah suara mak-mak saudara aku bising suruh bangun dan kemas tempat tidur. Dulu masa kecil-kecil, tidur semua hampar tilam depan ruang tamu  rumah sahaja. Tidur ramai-ramai. Bilik tidur pula selalunya untuk orang yang baru kahwin. 

Sarapan pagi yang terbaik pada aku ialah pulut ikan masin dengan isi kelapa. Boleh meleleh air liur. Kena pula dengan air kopi kaw. Nikmat betul. Sampai sekarang kalau balik ke rumah tok, aku akan minta tolong tok buatkan. Cucu kesayangan katakan. Hehehehe. Masuk pukul 11 pagi mak-mak saudara ini selalunya dah berkampung dekat dapur untuk masak tengah hari. Pak-pak saudara selalunya masih lagi tidur atau duduk baca surat khabar. Dah kata penat pergi beli sayur ikan bagai untuk mak-mak saudara ini masak. Jadi berehatlah sekejap. Tapi ada jugalah yang tolong bakarkan ikan. Ikan keli bakar memang kegemaran aku dengan isteri. Cicah pula dengan air asam dan ada ulam-ulaman. Aduh. 

Budak-budak selalunya akan bermain dekat laman luar. Masa zaman aku dulu selalunya kami main aci sembunyi, teng-teng, tuju (baling) kasut, polis sentri, pondok-pondok dan macam-macam lagi. Ada sahaja aktiviti untuk mengisi masa lapang. Tapi budak-budak zaman sekarang dah lain, tak macam dulu. Sekarang masing-masing ada telefon bimbit. Mengadaplah telefon bimbit itu 24 jam, melayan SMS tanpa jemu. Dunia dah berubah. 

Bila petang sahaja, selalunya ada minum petang dengan kuih muih. Kalau tak pun, kami pergi kait buah mempelam (mangga) dan cicah dengan gula kicap. Nak pedas, letak dengan cili padi. Memang terbaik. Sambil-sambil itu degarlah gosip dari mak-mak saudara ini. Sekali sekala pak-pak saudara menyampuk. Aku pula memang suka bangkitkan isu politik. Memandangkan mak-mak saudara aku ini semua kebanyakkan pro kerajaan, memang kenalah. Berdebat bagai nak rak, kalah parlimen. Memang meriah.

Itu belum kira suasana bila ada kenduri kendara, sambut puasa dan persiapan raya. Semua itu sebahagian memori aku bila berada di kampung. Cuma aku terfikir macam manalah agaknya suasana bila aku dan isteri berada di 'kampung' nanti menunggu anak-anak dan cucu-cucu pulang. 'Kampung' yang betul-betul kampung atau kampung macam Kg Baru? 




Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Antara Keyboard Dan Tetikus | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO