Travelog 1: Lata Mengkuang, Sik, Kedah

on Monday, April 16, 2012

Hari Sabtu lepas aku sekeluarga bersama dengan keluarga mak ndak dan mak teh (gelaran untuk mak-mak saudara) pergi berkelah di Lata Mengkuang yang terletak di daerah Sik, Kedah. Seingat aku, ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke kawasan perkelahan ini walaupun nombor di tengah kad pengenalan aku berangka 02. Bila melalui pekan Sik, aku teringat yang aku pernah datang ke sini semasa aku darjah 6 apabila aku terpilih mewakili daerah Kubang Pasu dalam pertandingan bola sepak bawah 12 tahun.


Masa itu aku diletakkan sebagai penjaga gol simpanan pasukan Kubang Pasu B. Posisi yang aku rasakan sudah cukup glamour bagi budak berumur 12 tahun pada masa itu walaupun hanya sekadar simpanan. Aku hanya bermain separuh masa dan hanya untuk satu perlawanan. Aku rasa ini disebabkan aku dengan jayanya telah melepaskan sebiji gol kepada pihak lawan. Ini semua gara-gara aku terleka dan telah naik ke bahagian atas. Pihak lawan berjaya mengesan kelekaan aku lalu lantas bola dihantar tinggi melepasi aku tanpa sempat aku berpatah balik ke tiang gol. Jurulatih aku juga dengan lantasnya menukarkan aku dengan penjaga gol lain. Malu juga bila difikir-fikirkan balik. Tapi apakan daya, nasi sudah jadi bubur. Selepas habis perlawanan tersebut, kami dibawa pergi Rimba Taqwa yang juga terletak di dalam daerah Sik untuk bermandi manda. Kalah pun dapat pergi bermandi manda. Rasanya kalau kami menang pada perlawanan itu mungkin dah dapat pergi bercuti satu Malaysia.



Berbalik kepada Lata Mengkuang, ia terletak 11 km dari pekan Sik dan 95 km dari Bandaraya Alor Star.  Dari Lebuhraya PLUS pengunjung perlu keluar di exit Gurun dan ikut papan tanda arah menuju ke Sik. Setibanya di pekan Sik akan ada papan tanda arah selanjutnya yang menghala ke Hutan Lipur Lata Mengkuang. Sepanjang perjalanan ini anda akan ditemani oleh suasana kampung dan hutan hijau. Sungai Chepir menjadi nadi utama kawasan perkelahan Lata Mengkuang ini. Aliran air sungai yang melalui batu batan menarik perhatian pengunjung untuk bermandi manda serta berkelah. 


Deruan air yang menyamankan suasana.

Kami tiba pada pukul 12.30 tengah hari dan syukur cuaca cerah elok. Risau juga memandangkan cuaca sekarang agak tak menentu. Aktiviti pertama yang dilakukan ialah menyediakan bara api untuk membakar ikan keli. Aktiviti ini pak-pak saudara yang siapkan. Mak-mak saudara pula bahagian menghidangkan makanan. Budak-budak awal-awal lagi dah terjun ke sungai. Anak sulong aku, Muhammad 'Aqil memang terujalah kalau bab mandi-mandi ini. Pantang nampak sungai, tasik atau laut mesti dia akan kata, "Abi, nak miming," atau bahasa bakunya, "Ayah, boleh tak Muhammad 'Aqil nak pergi berenang?". Seronok pergi berkelah ramai-ramai ini ialah ada ramai orang yang boleh tolong tengokkan anak-anak aku. Bolehlah ibu dan abinya buat kerja lain. 


Muhammad 'Aqil dan Nuha Farhana sempat ber'posing' atas batu


Menu makan tengah hari kami pada hari itu ialah ikan keli bakar berempah, gulai daging dengan rebung, udang goreng kunyit, ulam-ulaman dan sambal belacan. Menu yang memang terbaik. 


Ikan keli bakar. Terbaik.


Kawasan yang kami berkelah terletak di bahagian bawah. Kawasan tersebut agak landai dan sesuai untuk aktiviti keluarga seperti perkhemahan, berkelah, barbecue, sukaneka dan sebagainya. Ada wakaf untuk berehat dan surau terbuka untuk bersembahyang. Kawasan air terjun pula terletak di sebelah atas. Insha Allah kalau  ada masa nanti aku akan datang lagi dan membuat ulasan untuk kawasan air terjun pula. Secara umumnya kawasan ini masih lagi terjaga dan sesuai untuk aktiviti berkeluarga. Tak seperti Hutan Lipur Puncak Janing yang terletak di Kuala Nerang yang aku pernah pergi dahulu. Kotor dengan sampah sarap dan tandas yang tidak terjaga. Patutlah kawasan tersebut pernah ada kes kencing tikus. Aku harap kawasan-kawasan perkelahan sebegini diurus dengan baik bukan sahaja untuk menarik pelancong asing, tapi juga untuk pelancong tempatan.


Kami bertolak balik ke Jitra pada jam 3.15 petang dengan masing-masing tidur dalam kereta kerana keletihan kecuali ayah aku yang terpaksa menahan mengantuk untuk membawa kereta. Kesian dia.





Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Antara Keyboard Dan Tetikus | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO